Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka 
dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.
Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.
Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh 
sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam 
rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu 
semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang 
tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri
 ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya 
menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada 
diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu 
bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga 
itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata.
 Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada 
kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan 
atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah 
lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana 
bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula 
dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka 
begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka 
cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan
 tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad 
masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati 
sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi 
jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati 
masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan 
didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang 
suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya 
didengar oleh mereka berdua. usteru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya 
bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati. 
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati 
itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi 
dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan 
suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang 
melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, 
sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa 
takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya 
rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)
Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR.
 Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat
 dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al 
A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, 
tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang
 berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. 
Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, 
pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang
 dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai 
nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah 
mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti 
hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih 
ada cinta.
Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita 
hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya
 sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan 
menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut 
dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang 
berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang
 yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka 
bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta 
dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, 
besar kemungkinan sudah terguris hatinya!
Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara 
dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya 
begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, 
disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda 
memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang 
neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda 
bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa 
kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari 
Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu 
bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri 
dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)
Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, 
insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun 
peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita 
sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.
Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai
 Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah 
lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia 
berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang 
tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)
Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan 
bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan 
lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika 
tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh 
badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan 
rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, 
sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka 
menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. 
Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan 
jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka 
rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah 
dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, 
bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.
Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding
 orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang 
daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  
sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika 
bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi 
kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang 
kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk 
berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha 
ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Oleh Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah 
Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat 
kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula 
diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)
Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati 
yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui
 dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak 
menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang 
hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para
 ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.
Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa
 kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. 
Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun 
dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan 
yang sangat kuat dan bertenaga.    Namun, apabila tidak ada cinta… 
segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga 
untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta 
itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, 
sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu 
hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta 
pada mu!