Kata orang, cabaran pertama menjadi seorang suami bermula
sebelum bergelar suami, iaitu semasa upacara melafaz akad lagi. Sebulan sebelum
majlis, si bakal suami sudah mula menghafal ‘skrip’ ringkas, walaupun pendek
tetapi jika tersilap, tiada ‘cut-cut’ bahkan perlu diulang sampai menjadi. Si
isteri di belakang hanya melemparkan senyuman bahagia menanti saat suami
berjaya melafazkan ungkapan ‘Aku terima nikahnya’ tanpa ada debaran.
Apabila sudah dipastikan ‘sah’ maka jantung suami yang
berhenti seketika berdegup kembali. Saat itu dia telah menggalas tanggugjawab
sebagai seorang suami.
Rupa-rupanya cabaran itu tidak terhenti disitu saja, bahkan
menanti dengan lebih banyak ujian dan tanggungjawab yang lebih besar.
Sebahagian daripada tanggungjawab isteri dan anak-anak adalah terletak dibawah
tanggungannya. Soal peranan usah dikata, jenuh si suami mengerah tulang empat
kerat memberikan yang terbaik untuk keluarga, tapi masih ada keluhan daripada
anak-anak.
Tidak ada suami yang tidak mahu melihat keluarga yang dibina
tidak bahagia, untuk isteri biarlah dia mendapat apa yang dihajati dalam
perkahwinan iaitu perhatian, untuk anak-anak pula si suami mahu melihat mereka
sampai ke menara gading, setidak-tidaknya suami sudah boleh melepaskan lelah
dan nafas lega seketika apabila tanggungjawab itu terlaksana.
Saya tidak pasti, apakah keajaiban yang berlaku pada tahun
2011 ini, teman-teman yang seusia bahkan ‘kurang usia’ daripada saya
berderet-deret melangkah ke dunia perkahwinan. Ada yang sudah lama dirancang
tetapi ada juga yang menjadi bidan terjun. Namun, kedua-duanya tidak memihak
kepada saya, rancang tidak menjadi, bidan pun tak terjun-terjun.
Saya bukanlah seorang kaunselor jauh sekali motivator
kekeluargaan, isteri pun tidak ada apatah lagi pengalaman berumah tangga,
tangga rumah saja yang saya kenal. Tetapi teman-teman yang datang bertanyakan
pendapat seolah-olah saya ini sudah berkahwin. Saya selalu berpesan dan
menasihati kepada bakal pengantin supaya mereka tidak gusar untuk melalui
kehidupan berumah tangga nanti, dalam kesenangan menjadi seorang suami, ada
kesusahan yang mesti dialami.
Namun, untuk mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga
tidaklah sesukar yang disangka, asalkan tahu caranya dan betul gayanya, saya
pasti mawaddah dan rahmah sentiasa mekar tumbuh dalam suasana kekeluargaan.
Itupun sudah cukup, tidak perlu harta berkoyan-koyan, rumah besar-besaran,
kereta juta-jutaan, ataupun pangkat yang tinggi, cukuplah dengan title suami
yang bertanggungjawab dan melaksanakan peranannya untuk membeli harga sebuah
kebahagiaan.
Lalu, suami yang bagaimana yang perlu anda contohi? Inilah
dia peranan suami yang perlu dilaksanakan untuk mencapai mawaddah dan rahmah:
YANG MENGAWASI AGAMA ISTERI & ANAK-ANAKNYA
Yang dimaksudkan dengan mengawasi agama isteri dan anak-anak
bukanlah mengahwini seorang isteri yang beragama Islam semata-mata, tetapi
mengawasi yang diertikan adalah bagaimana agama Islam itu dipraktikkan oleh
dirinya, diri isterinya dan diri anak-anaknya sepanjang tempoh pembinaan rumah
tangga.
Tidak cukup hanya suami sahaja yang selalu mengerjakan
solat, anak-anak dan isterinya mestilah bersama-sama suami dalam
mengamalkannya. Jika ada yang culas dengan solat 5 waktu, pastikan mereka
dihukum dengan sewajarnya. Jika ada yang terlupa akan tanggungjawab yang perlu
ditunaikan untuk agama, suamilah menjadi orang pertama yang mengingatkan.
Ada suami yang selesa dengan kebaikan sendiri, solatnya
berjemaah di masjid tidak pernah tinggal, ketayap di kepala setiap masa,
apabila ada masa lapang dipenuhi dengan perkara yang berfaedah tetapi isteri
dan anak-anak dibiarkan terabai. Pakaian isteri tidak diambil berat, tudungnya
singkat, bajunya pula ketat menampakkan susuk tubuh. Anak-anaknya pula
diberikan kebebasan sepanjang masa, keluar pagi pulang malam, bergaul antara
lelaki dan perempuan tanpa batasan.
Agama suami sudah terjamin tetapi agama anak dan isterinya
punah-ranah.
Suami adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk
mengawasi agama setiap ahli keluarganya. Dia perlu sentiasa menilai prestasi
agama anak-anak dan isterinya dari semasa ke semasa. Dia mesti tahu, kenapa si
Syafiq ini dahulunya rajin sembahyang berjemaah tetapi sekarang sudah jarang,
kenapa si Ahmad dahulunya menghormati orang tua namun sekarang sudah pandai
membantah kata orang tua. Kenapa isterinya dahulu seorang pendiam tetapi
sekarang gemar mengumpat. Semua itu harus diketahui oleh suami, kerana ia
melibatkan tahap dan nilai agama yang ada pada ahli keluarganya.
Jika terkurang dan menurun prestasinya, harus diberikan
suntikan semangat untuk diperbaiki lagi kenaikkannya. Apabila sudah cemerlang
agama dalam diri ahli keluarganya, maka cerahlah masa depan keluarga yang bakal
dilahirkan lagi.
YANG MELAHIRKAN ‘MANUSIA’ BUKANNYA ZURIAT SEMATA-MATA
Kata orang tua-tua, anak-anak semasa kecil biar selalu
‘ditangan-tangankan’ supaya bila besar nanti menjadi manusia. Jika nakal,
biarlah kulitnya berdarah kerana dirotan, jangan sampai hati kita berdarah
melihat kenakalan anak-anak apabila sudah dewasa.
Nabi saw bangga akan umatnya yang ramai, bangga bukan kerana
ramainya sahaja tetapi ramainya bersama-sama kualiti yang dilahirkan. Lebih
baik mempunyai seorang anak yang soleh daripada 10 orang anak yang ‘tidak
menjadi’ manusia.
Ini juga salah satu tugas seorang suami dalam mewujudkan
kesinambungan keturunannya agar zuriat yang lahir itu semuanya baik-baik
belaka. Kalau 10 yang lahir, biarlah sepuluh-seluluh itu menjadi ustaz atau
ustazah, ataupun doktor yang beragama, ataupun jurutera yang beragama.
Bukanlah seorang ayah itu wajib menjadikan anak-anaknya
seorang yang berjawatan atau berpangkat tinggi tetapi yang diinginkan adalah
yang berkualiti. Kalau anaknya seorang menteri biarlah menteri yang mengenang
budi, kalaupun anak itu seorang penarik beca, biarlah penarik beca yang tidak
mensia-siakan agama Allah.
Pendek kata, yang mahu dilahirkan adalah manusia, bukannya
anak semata-mata. Anak yang ramai belum menjamin sebuah keluarga itu berjaya,
tetapi anak yang mempunyai sifat kemanusiaan dalam dirinya adalah nilai
kejayaan dalam keluarga.
YANG MENG-QUDWAHKAN PERIBADI MULIA
Suami adalah ikon dan idola.
Suami adalah orang yang mencipta karektor positif dan mampu
mempamerkan kepada seluruh ahli keluarganya. Dia juga harus mendahului semua
ahli keluarganya dalam meneladaninya. Jika dia menyuruh anak-anak dan isteri
mengerjakan solat, suami terlebih dahulu mesti menunjukkan sikap itu kepada
mereka. Jika suami mahukan isterinya menutup aurat, aurat suami harus ditutup
terlebih dahulu. Jika suami mahukan anak-anaknya berperangai baik, akhlak suami
harus diteliti terlebih dahulu.
Dalam segala aspek dan perkara baik, suami harus menjadi
pendahulu agar ia mudah dicontohi oleh anak-anak dan isterinya.
Jangan salahkan anak-anak yang culas mengerjakan solat 5
waktu kalau ayahnya sendiri jarang solat. Jangan salahkan isteri yang
berpakaian ketat, kalau si suami masih lagi berseluar pendek. Janganlah
bermimpi mahukan anak menjadi ustaz, kalau si ayah sendiri sepanjang masa
menghisap rokok. Jarang berlaku jika ayah seorang penagih dadah anaknya pula
seorang guru agama, yang ada jika ayahnya seorang pencuri barangkali anaknya
seorang perompak. Ohya, Nabi Ibrahim as itu special kes.
Qudwah itu bermaksud yang dicontohi dan mampu dicontohi.
Seorang suami mesti mampu menunjukkan contoh yang baik dan sikap itu boleh
dicontohi dan diikuti oleh seluruh ahli keluarganya. Saya pasti, jika suami
seorang yang soleh, anak-anaknya nanti akan dua kali lebih soleh daripada
ayahnya. Bukan itu saja, anak-anak akan bangga mempunyai seorang ayah yang
boleh manjadi ikon kepada mereka.
YANG MENGHARGAI JASA ISTERI
Bayangkan, semasa anda pulang dari tempat kerja dalam
keadaan yang meletihkan dan lapar, anda melihat rumah anda berserakan dan
anak-anak pula sedang bergaduh dan menangis. Perasaan anda bercampur baur
ketika itu, marah dan tension. Ketika itu barulah anda teringat yang isteri
anda telah sebulan meninggalkan anda selepas terlibat dengan kemalangan jalan
raya.
Oh baru ku tahu, besarnya peranan seorang isteri, "aku
rindukan kamu, Bedah" kata Razak di dalam hati sambil memeluk bantal dan
baju kurung milik Bedah.
Seorang isteri kerjanya tidak pernah berhenti. Jika isteri
seorang kerani, dia akan menunaikan tanggungjawab seorang kerani ketika di
pejabat dan meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri selepas tamat tugas
seorang kerani. Ketika suami melepaskan lelah dari penat bekerja, si isteri
yang juga bekerja masih belum berehat dan terus menyambung kerja-kerja seorang
isteri. 8 pagi hingga 5 petang adalah tugasnya sebagai seorang kakitangan
pejabat, 5 petang hingga 8 pagi keesokkan harinya adalah tugasnya sebagai
kakitangan rumah tangga. Begitulah sehingga dia pencen nanti.
Akhirnya, suami tanpa mengerti penat lelah isteri setiap
masa menyalahkannya, ada saja yang tidak kena. Lauk tawarlah, teh kurang
manislah dan sebagainya.
Maka, pada usia mereka yang semakin dimamah usia, si isteri
harus diberi penghargaan. Cukuplah puluhan tahun usia mereka memboyot
mengandungkan anak, membengkak kaki menguruskan kerja-kerja rumah, kini suami
haruslah memahami, tugas seorang isteri itu terlalu banyak dan tidak terhitung
jasa-jasa mereka. Isteri tidak pernah mengharapkan balasan, tetapi cukup
sekadar penat lelah mereka dihargai.
Hargai mereka dengan perhatian dan kasih sayang.
_____________________________
Menjadi seorang suami memang tidak semudah yang disangka,
kerana mereka bukanlah sekadar seorang lelaki, tetapi menggalas tugas seorang
bapa yang juga ketua keluarga yang setiap hari harus memuhasabah diri mereka
dengan tanggungjawab yang diberikan.
Bagi yang akan berumah tangga, mereka harus bertanya:
“Layakkah aku berstatus suami nanti?”
Yang telah lama mendirikan bahtera, mereka harus
bermuhasabah: “Suamikah aku?”
USAH JEMU MEMBERI