Monday, 20 January 2014

Berlapang dada dalam setiap dugaan...

Perkataan bahagia itu sangat subjektif.Semua orang berhak untuk bahagia.Kita juga berhak untuk bahagia.Menerima hidup seadanya dengan penuh kesyukuran adalah kunci bahagia.Walaupun kita kurang berada tetapi bahagia masih menjadi milik kita.Oleh kerana bahagia tidak dilihat kepada banyaknya harta,tidak juga dilihat kepada banyaknya anak.Bahagia juga tidak dilihat kepada pakaian berjenama,kereta mewah dan rumah besar.Bahagia itu adalah perasaan puas,redha dan syukur yang tertanam di dalam hati.

Keikhlasan hati menerima musibah dengan dada yang lapang penyebab untuk mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT

Apa yang akan dilakukan apabila jiwa menjadi kacau dan bercelaru.Adakah akan bersembunyi dari orang ramai?Adakah akan menyendiri,tidak mahu bergaul dengan semua orang?Atau berpura-pura nampak OKEY walhal jiwa sedang menderita.

Banyakkanlah usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT.  
   - membaca ayat-ayat al-Quran dan doa yang boleh melindungi diri daripada gangguan syaitan.

   -mengamalkan bacaan surah al-Fatihah,tiga Qul,ayat Kursi dan doa mathurat setiap pagi supaya selamat sehingga ke petang.                                                                                                            

   -Banyakkan menunaikan solat sunat di samping memelihara solat wajib lima kali sehari semalam.      

   -Perbanyakan zikir menyebut nama Allah SWT.

Amalkanlah zikir ini setiap hari selepas solat



Amalan seumpama ini membantu melembutkan jiwa dan memudahkan proses rawatan yang perlu lalui>Bibir yang basah dengan zikrullah dan hati yang sibuk memikirkan kekuasaan Allah SWT akan melupakan kita dengan masalah hidup yang dihadapi.Ketika itu kita akan merasakan masalah yang kita alami itu kecil sahaja
        

Monday, 13 January 2014

Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Seribu kesyukuran atas limpahan rahmat dan nikmat kurniaan-Nya.. Mudah-mudahan kita semua berada dalam keredhaan Allah SWT.

Subhanallah…secara tidak sedar, kalendar Islam 1435H telah beralih kepada bulan Rabiulawal. Bulan kelahiran kekasih Allah dan kekasih kita Rasulullah SAW. Sama-sama kita meningkatkan kecintaan kita kepada Baginda SAW. Buktikanlah kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengikut segala ajaran dan sunnah Baginda.

Bukti cinta kita kepada Baginda bulan semata-mata dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan dan perlakuan juga. Kita kata bahawa kita cinta kepada Nabi SAW, tetapi kita tidak berusaha untuk berakhlak seperti Baginda.

Bagaimana kita boleh mengatakan kita cinta pada Nabi SAW, sedangkan kita hanya membiarkan musuh Islam menghina Nabi SAW tanpa sedikit pun perasaan untuk membela Baginda? Dan adakah benar kita mencintai Nabi SAW, sedangkan pada masa yang sama kita menolak Al-Quran dan Sunnah, dasar perjuangan Nabi SAW ??? Tepuk dada tanya hati dan iman!!

Firman Allah SWT yg bermaksud,

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali ‘imran:31)

Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai idola kita kerana baginda merupakan Qudwah Hasanah bagi kita. Di samping itu, contohilah akhlak baginda kerana akhlak Baginda adalah akhlak yang terbaik.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(al-Ahzab:21)

Dalam ayat yang lain pula Allah SWT menyatakan,

“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Al-Qalam: 4)

Saidatina ‘Aishah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w. Lalu beliau menyatakan: “Akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran.”
(Hadith riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Wednesday, 1 January 2014

Seorang pemuda tergesa-gesa masuk ke sebuah kedai runcit di sebuah pekan kecil. Setelah dia membayar satu tin minuman dan mendapatkan baki duit syiling, dia terus mendapatkan set telefon berbayar yang terletak dihujung kaunter tadi. Sungguh berhati-hati dia mendail dan mula berbual. Tuan punya kedai runcit turut memasang telinga mendengar perbualan pemuda berkenaan.

Pemuda: "Puan, bolehkah saya mendapat pekerjaan memotong rumput di halaman rumah puan?"

Puan: "Saya sudah ada pekerja..".

Pemuda: "Puan boleh membayar saya separuh upah dari orang itu".

Puan: "Saya amat berpuas hati dengan hasil kerja pekerja saya itu".

Pemuda (merayu): "Saya akan menyapu dan membersihkan halaman rumah puan dan saya jamin di hari minggu halaman rumah puan akan jadi yang tercantik di antara rumah-rumah yang berada di situ".

Puan: "Tidak, terima kasih".

Pemuda tadi terus meletak kembali gagang telefon. Tuan punya kedai runcit turut bersimpati, dan mendekati pemuda tadi.

Pemilik Kedai: "Anak muda, aku suka sikapmu, semangat positifmu, dan aku ingin menawarkanmu pekerjaan".

Pemuda: "Tidak. Terima kasih sajalah Pak Cik!".

Pemilik Kedai: "Tapi tadi kedengarannya kamu sangat memerlukan pekerjaan".

Pemuda: "Oh, itu. Sebenarnya Pak Cik, Saya mahu memastikan apakah kerja yang selama ini saya lakukan memuas hati majikan saya atau tidak. Sayalah tukang kebun yang bekerja untuk puan dalam telefon tadi!" 

Hebat Pemuda tadi! Kita juga patut menilai prestasi kerja yang kita lakukan di tahun 2013 untuk memastikan kualiti yang lebih baik lagi di tahun 2014.

Ingatlah...... "WAKTU seperti sungai, kita tidak boleh menyentuh air yang sama untuk kedua kalinya, kerana air yang telah mengalir akan terus berlalu dan tidak akan pernah KEMBALI".

Selamat menyambut tahun baru 2014!

Wednesday, 11 December 2013

Masa kita di dunia...

Allah kata dalam Quran: Satu hari di Akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia.

Jika umur kita panjang dan diizinkan Allah untuk hidup selama 100 tahun sebenarnya kita hanya mampu hidup hanya beberapa jam/minit jika dihitung dengan masa Akhirat.

Contoh:

1 Hari Akhirat = 1000 tahun dunia

1 Hari Akhirat = 24 Jam (andaian)

jika kita hidup 100 tahun = 100/1000*24 = 2.4 jam Akhirat

1 Jam = 60 minit

2.4 Jam = 144 minit

Perbandingan 100 tahun hidup di dunia adalah sama dengan 144 minit hidup di akhirat..tak lama bukan..? Perumpamaan kita di dunia ini adalah sebagai transit sahaja sebelum menuju kehidupan yang abadi. Umpamanya macam kita dalam perjalanan di lebuhraya dan singgah di R&R untuk melepaskan lelah..tapi dalam masa transit itulah kita sempat membuat kerosakan - conteng dinding tandas, buang sampah, cabut tombol pintu, cantas pokok dan sebagainya..

Itulah analoginya kita didunia ini ..Dalam masa transit yang sekejap ini kita lupa pada Allah, Ingkar dengan perintahNya..meninggalkan Quran, hasad dengki sesama manusia dan berbagai lagi kerosakan. Mengingatkan diri kamu adalah mengingatkan diri saya juga. Kita akan dijemput pulang satu hari nanti..itu yang pasti..

Allah turunkan AlQuran sebagai kitab yang memberi petunjuk. Petunjuk ke jalan yang lurus..kitab yang memimpin kita ke syurgaNya tapi kita lebih mudah memilih buku lain dari kitab yang satu ini. Ringkasnya: Kitab ini petunjuk ke Syurga.

Kita sudah tahu kitab ini yang membawa kita ke syurga..justeru kita tidak perlu berlengah lagi...lancarkan serangan ke atas musuh kita yang sering menjauhkan kita dari syurga Allah..syaitan adalah musuh kita yang nyata..perbuatlah dia seperti musuh kerana dia menganggap kita sebagai musuhnya.

Serang dengan apa..? Tawakal kpd Allah, Doa, taawuz dan berbagai lagi senjata yang Allah bekalkan dalam al-quran. Dari Ibn 'Abbas RA katanya sabda Rasulullah SAW:

"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan."

100 tahun hidup di dunia hanya bersamaan 144 minit di Akhirat..Dunia adalah sementara dan kehidupan yang kekal adalah di negeri Akhirat..penuhi 100 tahun dengan amalan yang berfaedah, memenuhi janji Allah untuk ke Syurga.

Wednesday, 24 April 2013

Suami kah aku?..



Kata orang, cabaran pertama menjadi seorang suami bermula sebelum bergelar suami, iaitu semasa upacara melafaz akad lagi. Sebulan sebelum majlis, si bakal suami sudah mula menghafal ‘skrip’ ringkas, walaupun pendek tetapi jika tersilap, tiada ‘cut-cut’ bahkan perlu diulang sampai menjadi. Si isteri di belakang hanya melemparkan senyuman bahagia menanti saat suami berjaya melafazkan ungkapan ‘Aku terima nikahnya’ tanpa ada debaran.

Apabila sudah dipastikan ‘sah’ maka jantung suami yang berhenti seketika berdegup kembali. Saat itu dia telah menggalas tanggugjawab sebagai seorang suami.

Rupa-rupanya cabaran itu tidak terhenti disitu saja, bahkan menanti dengan lebih banyak ujian dan tanggungjawab yang lebih besar. Sebahagian daripada tanggungjawab isteri dan anak-anak adalah terletak dibawah tanggungannya. Soal peranan usah dikata, jenuh si suami mengerah tulang empat kerat memberikan yang terbaik untuk keluarga, tapi masih ada keluhan daripada anak-anak.

Tidak ada suami yang tidak mahu melihat keluarga yang dibina tidak bahagia, untuk isteri biarlah dia mendapat apa yang dihajati dalam perkahwinan iaitu perhatian, untuk anak-anak pula si suami mahu melihat mereka sampai ke menara gading, setidak-tidaknya suami sudah boleh melepaskan lelah dan nafas lega seketika apabila tanggungjawab itu terlaksana.

Saya tidak pasti, apakah keajaiban yang berlaku pada tahun 2011 ini, teman-teman yang seusia bahkan ‘kurang usia’ daripada saya berderet-deret melangkah ke dunia perkahwinan. Ada yang sudah lama dirancang tetapi ada juga yang menjadi bidan terjun. Namun, kedua-duanya tidak memihak kepada saya, rancang tidak menjadi, bidan pun tak terjun-terjun.

Saya bukanlah seorang kaunselor jauh sekali motivator kekeluargaan, isteri pun tidak ada apatah lagi pengalaman berumah tangga, tangga rumah saja yang saya kenal. Tetapi teman-teman yang datang bertanyakan pendapat seolah-olah saya ini sudah berkahwin. Saya selalu berpesan dan menasihati kepada bakal pengantin supaya mereka tidak gusar untuk melalui kehidupan berumah tangga nanti, dalam kesenangan menjadi seorang suami, ada kesusahan yang mesti dialami.

Namun, untuk mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga tidaklah sesukar yang disangka, asalkan tahu caranya dan betul gayanya, saya pasti mawaddah dan rahmah sentiasa mekar tumbuh dalam suasana kekeluargaan. Itupun sudah cukup, tidak perlu harta berkoyan-koyan, rumah besar-besaran, kereta juta-jutaan, ataupun pangkat yang tinggi, cukuplah dengan title suami yang bertanggungjawab dan melaksanakan peranannya untuk membeli harga sebuah kebahagiaan.

Lalu, suami yang bagaimana yang perlu anda contohi? Inilah dia peranan suami yang perlu dilaksanakan untuk mencapai mawaddah dan rahmah:

YANG MENGAWASI AGAMA ISTERI & ANAK-ANAKNYA

Yang dimaksudkan dengan mengawasi agama isteri dan anak-anak bukanlah mengahwini seorang isteri yang beragama Islam semata-mata, tetapi mengawasi yang diertikan adalah bagaimana agama Islam itu dipraktikkan oleh dirinya, diri isterinya dan diri anak-anaknya sepanjang tempoh pembinaan rumah tangga.

Tidak cukup hanya suami sahaja yang selalu mengerjakan solat, anak-anak dan isterinya mestilah bersama-sama suami dalam mengamalkannya. Jika ada yang culas dengan solat 5 waktu, pastikan mereka dihukum dengan sewajarnya. Jika ada yang terlupa akan tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk agama, suamilah menjadi orang pertama yang mengingatkan.

Ada suami yang selesa dengan kebaikan sendiri, solatnya berjemaah di masjid tidak pernah tinggal, ketayap di kepala setiap masa, apabila ada masa lapang dipenuhi dengan perkara yang berfaedah tetapi isteri dan anak-anak dibiarkan terabai. Pakaian isteri tidak diambil berat, tudungnya singkat, bajunya pula ketat menampakkan susuk tubuh. Anak-anaknya pula diberikan kebebasan sepanjang masa, keluar pagi pulang malam, bergaul antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Agama suami sudah terjamin tetapi agama anak dan isterinya punah-ranah.

Suami adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengawasi agama setiap ahli keluarganya. Dia perlu sentiasa menilai prestasi agama anak-anak dan isterinya dari semasa ke semasa. Dia mesti tahu, kenapa si Syafiq ini dahulunya rajin sembahyang berjemaah tetapi sekarang sudah jarang, kenapa si Ahmad dahulunya menghormati orang tua namun sekarang sudah pandai membantah kata orang tua. Kenapa isterinya dahulu seorang pendiam tetapi sekarang gemar mengumpat. Semua itu harus diketahui oleh suami, kerana ia melibatkan tahap dan nilai agama yang ada pada ahli keluarganya.

Jika terkurang dan menurun prestasinya, harus diberikan suntikan semangat untuk diperbaiki lagi kenaikkannya. Apabila sudah cemerlang agama dalam diri ahli keluarganya, maka cerahlah masa depan keluarga yang bakal dilahirkan lagi.

YANG MELAHIRKAN ‘MANUSIA’ BUKANNYA ZURIAT SEMATA-MATA

Kata orang tua-tua, anak-anak semasa kecil biar selalu ‘ditangan-tangankan’ supaya bila besar nanti menjadi manusia. Jika nakal, biarlah kulitnya berdarah kerana dirotan, jangan sampai hati kita berdarah melihat kenakalan anak-anak apabila sudah dewasa.

Nabi saw bangga akan umatnya yang ramai, bangga bukan kerana ramainya sahaja tetapi ramainya bersama-sama kualiti yang dilahirkan. Lebih baik mempunyai seorang anak yang soleh daripada 10 orang anak yang ‘tidak menjadi’ manusia.

Ini juga salah satu tugas seorang suami dalam mewujudkan kesinambungan keturunannya agar zuriat yang lahir itu semuanya baik-baik belaka. Kalau 10 yang lahir, biarlah sepuluh-seluluh itu menjadi ustaz atau ustazah, ataupun doktor yang beragama, ataupun jurutera yang beragama.

Bukanlah seorang ayah itu wajib menjadikan anak-anaknya seorang yang berjawatan atau berpangkat tinggi tetapi yang diinginkan adalah yang berkualiti. Kalau anaknya seorang menteri biarlah menteri yang mengenang budi, kalaupun anak itu seorang penarik beca, biarlah penarik beca yang tidak mensia-siakan agama Allah.

Pendek kata, yang mahu dilahirkan adalah manusia, bukannya anak semata-mata. Anak yang ramai belum menjamin sebuah keluarga itu berjaya, tetapi anak yang mempunyai sifat kemanusiaan dalam dirinya adalah nilai kejayaan dalam keluarga.

YANG MENG-QUDWAHKAN PERIBADI MULIA

Suami adalah ikon dan idola.

Suami adalah orang yang mencipta karektor positif dan mampu mempamerkan kepada seluruh ahli keluarganya. Dia juga harus mendahului semua ahli keluarganya dalam meneladaninya. Jika dia menyuruh anak-anak dan isteri mengerjakan solat, suami terlebih dahulu mesti menunjukkan sikap itu kepada mereka. Jika suami mahukan isterinya menutup aurat, aurat suami harus ditutup terlebih dahulu. Jika suami mahukan anak-anaknya berperangai baik, akhlak suami harus diteliti terlebih dahulu.

Dalam segala aspek dan perkara baik, suami harus menjadi pendahulu agar ia mudah dicontohi oleh anak-anak dan isterinya.

Jangan salahkan anak-anak yang culas mengerjakan solat 5 waktu kalau ayahnya sendiri jarang solat. Jangan salahkan isteri yang berpakaian ketat, kalau si suami masih lagi berseluar pendek. Janganlah bermimpi mahukan anak menjadi ustaz, kalau si ayah sendiri sepanjang masa menghisap rokok. Jarang berlaku jika ayah seorang penagih dadah anaknya pula seorang guru agama, yang ada jika ayahnya seorang pencuri barangkali anaknya seorang perompak. Ohya, Nabi Ibrahim as itu special kes.

Qudwah itu bermaksud yang dicontohi dan mampu dicontohi. Seorang suami mesti mampu menunjukkan contoh yang baik dan sikap itu boleh dicontohi dan diikuti oleh seluruh ahli keluarganya. Saya pasti, jika suami seorang yang soleh, anak-anaknya nanti akan dua kali lebih soleh daripada ayahnya. Bukan itu saja, anak-anak akan bangga mempunyai seorang ayah yang boleh manjadi ikon kepada mereka.

YANG MENGHARGAI JASA ISTERI

Bayangkan, semasa anda pulang dari tempat kerja dalam keadaan yang meletihkan dan lapar, anda melihat rumah anda berserakan dan anak-anak pula sedang bergaduh dan menangis. Perasaan anda bercampur baur ketika itu, marah dan tension. Ketika itu barulah anda teringat yang isteri anda telah sebulan meninggalkan anda selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Oh baru ku tahu, besarnya peranan seorang isteri, "aku rindukan kamu, Bedah" kata Razak di dalam hati sambil memeluk bantal dan baju kurung milik Bedah.

Seorang isteri kerjanya tidak pernah berhenti. Jika isteri seorang kerani, dia akan menunaikan tanggungjawab seorang kerani ketika di pejabat dan meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri selepas tamat tugas seorang kerani. Ketika suami melepaskan lelah dari penat bekerja, si isteri yang juga bekerja masih belum berehat dan terus menyambung kerja-kerja seorang isteri. 8 pagi hingga 5 petang adalah tugasnya sebagai seorang kakitangan pejabat, 5 petang hingga 8 pagi keesokkan harinya adalah tugasnya sebagai kakitangan rumah tangga. Begitulah sehingga dia pencen nanti.

Akhirnya, suami tanpa mengerti penat lelah isteri setiap masa menyalahkannya, ada saja yang tidak kena. Lauk tawarlah, teh kurang manislah dan sebagainya.

Maka, pada usia mereka yang semakin dimamah usia, si isteri harus diberi penghargaan. Cukuplah puluhan tahun usia mereka memboyot mengandungkan anak, membengkak kaki menguruskan kerja-kerja rumah, kini suami haruslah memahami, tugas seorang isteri itu terlalu banyak dan tidak terhitung jasa-jasa mereka. Isteri tidak pernah mengharapkan balasan, tetapi cukup sekadar penat lelah mereka dihargai.

Hargai mereka dengan perhatian dan kasih sayang.
_____________________________

Menjadi seorang suami memang tidak semudah yang disangka, kerana mereka bukanlah sekadar seorang lelaki, tetapi menggalas tugas seorang bapa yang juga ketua keluarga yang setiap hari harus memuhasabah diri mereka dengan tanggungjawab yang diberikan.

Bagi yang akan berumah tangga, mereka harus bertanya: “Layakkah aku berstatus suami nanti?”

Yang telah lama mendirikan bahtera, mereka harus bermuhasabah: “Suamikah aku?”

USAH JEMU MEMBERI

Tuesday, 16 April 2013

USAH MENCARI YANG "TERLALU SEMPURNA"

Jika kamu memancing ikan...
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu...
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja..
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan
mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga...

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang...
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU,
hendaklah kamu MENJAGA hatinya...
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja...
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu,
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu...

Jika kamu menadah air biarlah berpada,
jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia
begitu teguh... cukuplah sekadar keperluanmu...
Apabila sekali ia retak... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula...
Akhirnya ia dibuang...

Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya,
mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi...
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya...
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan
janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa...
Anggaplah dia manusia biasa.
Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN,
bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya...
Akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan, jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi,
yang kamu pasti baik untuk dirimu...
Mengenyangkan - Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain..??
Terlalu ingin mengejar kelazatan... KELAK.. Nasi itu akan basi dan
kamu tidak boleh memakannya... Lalu kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan,
yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.
MENYAYANGIMU.. MENGASIHIMU...
Mengapa kamu berlengah,
cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain..??
Terlalu mengejar kesempurnaan... KELAK.. Kamu akan KEHILANGANNYA
apabila dia menjadi milik orang lain... Lalu kamu juga yang akan MENYESAL :')

Thursday, 31 January 2013

Peringatan bagi orang-orang yang lalai...

Siapa yang pagi-pagi sudah memikirkan dunia,maka dia pagi-pagi telah murka Allah kepadanya.

Siapa yang mengeluh kerana ditimpa musibah,maka dia mengeluhkan Tuhannya.

Siapa yang tidak hirau dari mana datangnya rezekinya,maka Allah tidak hirau dari pintu mana dia akan masuk neraka.

Sesiapa yang berbuat dosa sambil ketawa dia akan masuk neraka sambil menangis.

Sesiapa yang sibuk memuaskan nafsu syahwat semata-mata,maka Allah akan mencabut daripada hatinya takut akan akhirat.

Sesiapa yang merendah kepada orang kaya kerana kayanya,maka selalu terbayang di ruang matanya kemiskinannya.

Pedih bukan, bila mengenangkan sejauh manakah reputasi kita sebagai seorang 'hamba' disisi Tuhan kita? Namun ramai sekali manusia di dunia ini tidak merasa apa-apa pun dan ada juga yang terlupa langsung untuk menilik-nilik kedudukan dan melakukan semakan terhadap tahap prestasi sendiri di sisi Allah SWT.

Bagaimana cara mengukurnya?

Jikalau kita hendak mengetahui sejauh mana kita di sisi Allah, lihatlah kepada sejauh mana Allah di sisi kita. Allah SWT berfirman: "Ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu."

Jadi, sejauh mana kita mengingati Allah, selama itulah Allah mengingati kita. Apabila kita ambil peduli pada Allah, Allah akan peduli pada kita. Bila kita bergantung harap padaNya, Dia akan membantu kita. Bila kita cinta padaNya, Dia akan menyintai kita. Bila kita takut padaNya, Dia akan melindungi kita.

Dan,bagaimana kita mati nanti adalah bergantung kepada bagaimana hidupnya kita. Kalau semasa hidup kita sering mengingati dan menyebut nama Allah, demikianlah pada saat-saat kematian nanti. Jangan pula apabila tiba saat itu, kata-kata dan ingatan tidak baik yang menerjah dan terzahir keluar dari diri kita lantaran ketika hidup dahulu kita ini jenis yang tidak pedulikan Tuhan!

Na'uzubillahi min zalik.

Sunday, 16 September 2012

Menaiplah kerana Allah s.w.t..

Taiplah satu ayat yang boleh memberi kesan kepada seorang, Jika tidak mampu menaip satu perenggan yang boleh memberi kesan kepada sekampung, Sekurang-kurangnya tulis sesuatu perkara yang boleh beri peringatan setiap hari, kerana saham amalan yang diamalkan oleh mereka akan sampai kepada kita walaupun kita telah MENINGGAL DUNIA BERTAHUN LAMANYA.

 “Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah jariah, atau ILMU yang memanfaatkan, dan doa anak yang soleh” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

 ~~ tangan menaip, otak berfikir, hati berzikir, lidah berzikir ~~

 Sesungguhnya Mukmin itu beruntung... kenapa ??

kerana hanya dengan mengingati Allah hati dan seluruh jasad itu akan TENANG

"Indah jasad ciptaan Ilahi, 
Suci hati berbunga iman, 
Pantulan cinta dari Ilahi, 
Tanda diri ditemani Tuhan" 

"Tenang damai mencipta langkah, 
Keluh kesah jadi sejarah, 
Zuhud diri menjaga akidah, 
Kerana tawadduk itu sunnah" 

Subhanallah, Alhamdulillah, wa Laa ila ha illaAllah, Allahu Akbar...

Monday, 13 August 2012

Pecutan Terakhir...

Saat-saat terakhir ramadhan kian terasa.
Ramai sekali yang gembira menanti kedatangan Aidil fitri yang tak dinafikan cukup indah..
Gembira berjumpa sanak saudara...
Gembira memakai baju raya...
Gembira dapat merasa lemang dan kuih raya...
Gembira dapat duit raya... ◕‿◕
Tiada salahnya di situ..

Sememangnya hari raya merupakan hari untuk umat Islam bergembira.. Inilah nikmat Allah kepada hambaNya yang mentaati-Nya....

Tapi ada juga yang turut berasa sedih.. tapi tak ramai...

Mungkin sedih kerana mengenangkan mungkin ini ramadhan terakhir buat mereka..
Sedih kerana tiada lagi ganjaran amalan yang berlipat ganda,
Sedih kerana syaitan bebas dari dibelengu,
Sedih kerana saf jemaah di masjid mungkin berkurangan, Sedih kerana tiada lagi kemeriahan tarawikh...
Sedih kerana mungkin tidak dapat merasa lagi nikmat berbuka dan bersahur...
Sedih kerana mungkin tiada lagi RAMADHAN tahun depan...
Sambutan yang berbeza dari setiap insan...

Apa pun sambutan kita, pastikan hari raya Aidil fitri kali ini, kita betul-betul kembali kepada FITRAH....

Fitrah seorang hamba yang akur, taat pada TUAN-Nya....

Friday, 20 July 2012

Ahlan wa sahlan Ramadan





Ahlan wa sahlan Ramadan. Bergema ucapan alu-aluan daripada Muslim yang rindu akan bulan pesta ibadah ini. Kesabaran menunggu selama ini yang kini menjelma di depan mata disambut dengan lafaz syukur serentak dengan sujud syukur. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan Ramadan, yang padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-Mu.

Esok jatuhlah 1 Ramadhan 1433 bagi rakyat Malaysia. Bermakna esok adalah hari pertama umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktu dengannya menjalani ibadah puasa.

Malam ini akan bermulalah solat sunat terawih dan witir. Ada surau dan masjid mengadakan solat terawih sebanyak 20 rakaat dan tak kurang juga 8 rakaat. Begitu jugalah sunat witir boleh dilakukan 3 rakaat ataupun 1 rakaat. Yang solat 3 rakaat pula boleh lakukan dua salam ataupun satu salam sahaja.
Perbezaan diatas janganlah menjadi bahan pertikaian. Apa yang penting ialah melakukan solat sunat terawih tu, berapa rakaat bukan perkara pokok. Yang sepatutnya menjadi tajuk atau pertikaian ialah dalam suasana seronok menceritakan kehadiran bulan Ramadhan tetapi masih ada kenalan kita, saudara mara kita dan jiran kita telah memasang angan-angan untuk tidak berpuasa apatah lagi berterawih. Mereka ini perlu disedarkan dan diberi kefahaman.

Ramadhan kali ini buatlah yang berbeza berbanding tahun lepas. Biarlah Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik sekali dari semua sudut. Kalau Ramadhan lepas kita tidak suka kepada tazkirah, tapi tahun ini biar kita suka kepada tazkirah. Kalau Ramadhan lepas kita banyak membeli juadah berbuka puasa dengan siapa sahaja yang menjual asalkan nampak berselera, tapi kali ini kena pilih orang yang menjual ituadalah orang yang menutup aurat serta berpuasa. Masak sendiri lagi baik.

Dari segi rancangan TV pula jika tahun lepas banyak menyaksikan adegan maksiat dan melalaikan, tapi kali ini pilihlah rancangan yang boleh mendatangkan pendidikan baik dan manfaat kepada keluarga. Biar kita kawal TV bukan sebaliknya.

Jangan tinggalkan bersahur ( jam 4.30 pagi bukan jam 12.00 tengah malam ). Buatlah persediaan solat subuh atau membaca Al Quran sementara menunggu masuk waktu fardu Subuh. Solat subuh secara berjemaah di Surau atau Masjid adalah digalakkan. Bagi yang inginkan ketenangan bangunlah seawal jam 3.30pagi untuk melakukan solat sunat tahajjud dan hajat. InsyaAllah, Allah akan bantu dan mempermudahkan. Di waktu pagi pula lazimkan solat sunat Duha setiap hari.

Saturday, 14 July 2012

MaJL!S BerTuNaNg.


Pertunangan merupakan mukadimah kepada perkahwinan. Ianya diharuskan didalam islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali pasangan masing -masing dengan lebih dekat lagi.
Tempoh pertunangan ini juga merupakan masa bagi seseorang itu untuk membenihkan roh persefahaman ikatan kasih sayang dengan pasangan masing -masing ke arah melahirkan sebuah mahligai keluarga yang bahagia.

Kini,bermula lah 1 episod baru dalam kehidupan saya.Perkara yg tak dijangka&disangka2..tempoh perkenalan yg singkat yg membawa kami berdua kpd perhubungan yg lebih serius..Alhamdulillah..walaupun jarak yg jauh memisahkan kami,namun kerana hati&perasaan terasa dekat membuahkan rasa rindu,kasih&sayang yg tak berbelah bagi..Alhamdulillah..semuanye kerana Allah s.w.t.yg meniupkan rasa kasih syg dihati kami berdua.

Dgn hati&fikiran yg tenang menyatakan persetujuan apabila dilamar oleh si lelaki.Tidak mampu berkata apa2,hanya mampu mengucap alhamdulillah sbg tanda syukur pada Yang Maha Esa...
debaran semakin terasa bila hari yang dinantikan tiba..Si lelaki tidak hadir kn diri sbb kekangan kerja..Namun itu semua tak menjadi penghalang kerana apa yg penting doa,restu keluarga&paling penting mendapat keberkatan dari Ilahi..


                                                   Bincang2 apa yg patut..Hehe

                                                    cincin bertunang..


Selesai sudah..Alhamdulillah....
" Apabila salah seorang daripada kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk berkahwin, maka lakukanlah!" (HR. Abu Daud)

Sunday, 3 June 2012

BERCERITA TENTANG JODOH…

Inilah yang sering kali berlegar dalam benak fikiran manusia yang masih menanti siapa pasangan hidupnya di dunia ini.
Jodoh itu di tangan Tuhan.Tiada sedikitpun kuasa dari tangan manusia untuk menetapkan siapa yang bakal kita kahwini kelak.

Barangkali ramai yang menyangka bahawasanya jodoh itu mampu di rancang mengikut kebahagiaan diri sendiri,namun kenyataannya adalah tidak.Jodoh itu merupakan ketetapan Tuhan yang tidak berubah biarpun sedikit.

Bila sudah punya kekasih hati yang cantik/kacak,jangan terlalu takbur.Usah kita berlagak seolah-olah kita memang tahu orang yang kita cintai selama beberapa tahun itu adalah jodoh yang terbaik buat kita.Maksudnya,apabila kita jatuh cinta dan cinta kita berbalas,usah berlagak seperti kita tahu orang yang kita cintai dan mencintai kita itu adalah jodoh kita,kerana jodoh itu adalah salah satu dari rahsia Allah.

Zaman ini,sudah berapa banyak kes manusia yang bercinta bertahun lamanya,seakan sudah yakin mengenali antara satu sama lain tapi pengakhirannya cinta mereka putus di tengah jalan.Justeru,cinta yang di anyam selama ini atas dasar apa?
Kerana rupa?Harta?Nafsu?
Kerana itu hati masing-masing mula berubah?

Ada yang beranggapan bahawa bercinta dahulu sebelum bernikah itu penting kerana mahu mengenali terlebih dahulu hati budi seseorang yang bakal kita habiskan sisa-sisa umur bersamanya.
Dari situ akan bermulanya istilah 'couple' - dating setiap hari,bermadah cinta setiap detik.
Dan bila sampai waktunya untuk akad nikah,sudah hilang rasa keterujaan,perasaan berdebar-debar terhadap pasangan.Kerana apa? Kerana kita sudah biasa lakukannya sebelum bernikah.Barangkali perasaan bosan juga mula menguasai diri.

Maka,tidak hairanlah kalau ada pasangan yang baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumah tangga sudah mula menampakkan diri di mahkamah syariah.Sudah lali fenomena tersebut pada masa kini.

Pernikahan yang di dirikan atas dasar nafsu dan cinta semata-mata tidak akan kekal.Perasaan cinta itu akan ada pasang surutnya.Nafsu juga akan pudar.Justeru,andai kedua-duanya sudah hilang,apa lagi yang tinggal untuk mengukuhkan institusi rumah tangga?

Bernikahlah kerana Allah Taala.Jadikan gerbang perkahwinan itu sebagai satu ibadah.Kerana dalam dunia rumah tangga itu,masing-masing punya tanggungjawab yang perlu di tunaikan.Alangkah indahnya jika di saat si suami mengimamkan solat,isteri dan anak-anak turut serta menjadi makmum di belakang serta mengaminkan segala doa yang di panjatkan.Itulah nikmat yang bakal di perolehi andai semua yang kita lakukan kerana Allah.

Sekarang musim cuti sekolah,rmai kawan-kawan saya yang mendirikan rumahtangga.Tahniah diucapkan..“ Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat “.


                 Majlis Perkahwinan Jazri&Julia


                                                                      Majlis Perkahwinan Hafizuddin&Hidayah



                                                     Majlis Perkahwinan maksu&paksu

 Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :
" Manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan  dari kepalanya untuk menjadi atasnya, bukan dari kakinya  untuk menjadi alasnya, malah dari sisinya untuk menjadi teman  hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat  di hatinya untuk dicintai
"








                         p/s : Percayalah selain mati, jodoh juga perlu ditunggu gilirannya..('',)

Tuesday, 22 May 2012

Bulan Rejab


Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (QS At-Taubah: 36)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di bulan-bulan Haram.

Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله عنه beliau berkata: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. (HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)

 Link Pilihan:



Kesahihan fadhilat amalan di bulan Rejab

Sunday, 20 May 2012

KATA-KATA SELEMBUT RASA CINTA

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.
Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)

Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?

Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. usteru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)

Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.
Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)

Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!
Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)

Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.

Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)

Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.
Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Oleh Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)

Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.
Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga.    Namun, apabila tidak ada cinta… segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu!

Saturday, 19 May 2012

Berkahwin Kerana apa?...

  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana SEKS, maka pasangan rajin bertengkar jika…Servis di kamar tidur tidak memuaskan .
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana HARTA, maka pasangan bakal bubar jika bankrup .
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana KECANTIKAN, pasangan bakal lari jika rambut mula beruban dan muka kerepot atau badan jadi gendut .
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana ZURIAT, maka pasangan akan cari alasan untuk pergi jika pasangan tidak dapat memberi anak .
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana KEPERIBADIAN, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya .
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana CINTA, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal-hal yang lebih baik , tanpa kita sedar cinta itu hilang di hati.
  • Jika hakikat pernikahan adalah kerana IBADAH kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH itu KEKAL dan MAHA PEMBERI.
  • HIDUP kepada makhlukNYA . Dan ALLAH mencintai hambaNYA melebihi seorang ibu mencintai bayinya . Maka tak ada alasan apapun didunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan mendurhakai ALLAH.


Jangan Mencintai Seseorang Setinggi Langit Kerana Langit Boleh Runtuh..
Jangan Mencintai Seseorang Sedalam Lautan Kerana Lautan Boleh Surut..

Jangan Menintai Seseorang Sebesar Dunia Kerana Dunia Boleh Hancur…

Cukuplah Mencintai Seseorang Sehujung Kuku,

Walau Kecil, Walau Selalu Dipotong, Ia Akan Selalu Tumbuh….

Friday, 18 May 2012

Amalan Zikir Untuk Menundukkan Nafsu Dan Kesombongan


Ada yang bertanya apakah zikir untuk menundukkan nafsu syahwat supaya dapat hidup dengan lebih tenang dalam mentaati perintah Allah s.a.w. Tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran. Selagi kita ini hidup, cabaran dan ujian silih berganti. Di antara ujian getir ialah runtutan syahwat yang tidak terkawal. Memang kita ketahui nafsu syahwat yang tidak terkawal membawa akibat yang buruk kepada diri berkenaan. Kemungkinan besar boleh terjerumus dosa besar jika iman lemah dan tidak mampu membentengi diri dari godaan syaitan.
Saya tidak berniat untuk menulis panjang dalam soal ini, perbincangan berkaitan boleh dibincangkan pada ruang yang lain. di sini saya hanya ingin memenuhi hasrat mereka yang bertanya tentang amalan zikir yang boleh diamalkan bagi menundukkan nafsu syahwat. Semoga apa yang dikongsikan di sini mendatangkan kebaikan untuk semua, insya Allah.
Amalkan zikir Ya Qahhar:
Allah al-Qahhar adalah Dia Yang Maha Mengalahkan seluruh makhluk dengan keperkasaan-Nya. Dia-lah Yang Maha Menjinakkan sesiapa yang menentang-Nya dengan menunjukkan bukti keesaan-Nya. Dia-lah Yang Mahan Menundukkan sesiapa sahaja yang membantah-Nya dengan kekuasaan-Nya. Dia-lah Yang Maha Mematahkan belakang mereka perkasa dari musuh-Nya dengan kematiaan dan kehinaan.
Cara beramal:
  • Bacalah 337 kali siang dan malam dengan menghayati makna sehingga meresap ke dalam hati. Yakin bahawa Allah s.w.t. akan memberi kekuataan kepada dirinya untuk menundukkan, mengalahkan, menguasai dan mengendalikan hawa nafsunya.
  • Bacalah doa berikut:

  • Ertinya:”Tuhanku, Engkau telah menundukkan dan menjinakkan seluruh alam, yang tinggi mahupun yang rendah, yang dekat mahupun yang jauh. Anugerahilah aku secercah rahsia asma’- Mu al-Qahhar, agar nafsuku tunduk dan dapat kukendalikan dan agar berlutut di hadapanku seluruh penjahat. Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku kemampuan menguasai seluruh kewujudan diriku, agar aku dapat menghadapi iblis dan selamat dari pujuk rayuan syahwat. Ya Allah, jadikalah aku selalu memandang kegermerlapan cahaya nama-Mu al-Qahhar (Yang Maha Mengalahkan), sehingga aku tidak terpedaya dengan semua yang agung dan perkasa di bumi ini, wahai Yang Maha Agung, Yang Maha Menundukkan segala yang agung. Dan semoga selawat da salam sentiasa dilimpahkan kepada Nabi kami, Rasul kami Muhammad s.a.w. berserta keluarga dan sahabat beliau.”